Khas daripada Parti Mahasiswa Negara (PMN) ;
Assalamualaikum dalam salam mesra untuk seluruh rakyat Malaysia,
Pertama-tamanya, tahniah kepada rakyat Malaysia atau lebih tepat disebut BARISAN RAKYAT kerana telah menunaikan tanggungjawab mengundi dalam PRU12 ini semalam dan telah melunaskan tanggungjawab yang baik selaku warganegara. Baik mengundi Barisan Nasional ataupun Barisan Alternatif (PKR, PAS & DAP dll), kita berharap keputusan memangkah [ X ] kali ini dibuat benar-benar selepas kita memahami, menguasai dan menghayati segala maklumat serta berfikir tentang masa depan negara bangsa (nation state), agama dan mengetahui arah mana halatuju Malaysia akan datang.
BN masih mengekalkan majoriti sederhana (simple majority) di peringkat nasional. Rakyat Kelantan masih memberi mandat kepada PAS di bawah kepemimpinan YAB Tuan Guru Dato’ Nik Abdullah Aziz Nik Mat, alhamduliLlah.
Barisan Alternatif (BA) telah menang majoriti di Pulau Pinang, Kedah, Selangor dan Perak. Fenomena baru ini juga suatu sejarah istimewa rakyat dalam menentukan kepemimpinan negara ‘Malaysia baru’ selepas 50 tahun kita merdeka.
Tahniah kepada BARISAN RAKYAT, BA dan BN!
PRU12 MENJELMAKAN ‘KUASA BARISAN RAKYAT’
Kita yakin banyak faktor yang mendesak perubahan mood pengundi dalam PRU12 ini. Ada pihak mengatakan faktor inflasi (2.2%) dan kenaikan harga minyak-barang asasi. Ada pihak lain pula mengatakan bahawa kepemimpinan YAB Dato’ Seri Abdullah Hj. Ahmad Badawi yang dilihat kurang bertenaga; dan terlalu banyak ‘lompang’ dalam institusi berkerajaan sepanjang era kepemimpinan beliau dalam 1 penggal setelah PRU11.
Ada pihak lain pula mengatakan bahawa ‘manifesto dan imej calon/parti’ adalah main facto kecenderungan pengundi pada calon BA. Fungsi Tun Dr. Mahathir Mohammad sebagai state-man juga tidak seharusnya diketepikan. Banyak lagi pandangan-pandangan telah dibuat di luar sana.
Tuntasnya, fenomena PRU12 ini jauh berbeza dengan fenomena PRU11 dan PRU10.
Dalam PRU10, mood rakyat lebih dibuai oleh Anwar Facto. Kita dapat lihat beberapa fenomena ‘istimewa’ pada waktu itu. Antaranya, tranformasi kepemimpinan dalam parti feudal Melayu – UMNO; sehingga tertubuhnya ADIL dan wujudnya suatu ketumbukan rakyat yang padu – disebut GERAK (kemudiannya BA).
Kelantan terus mengekalkan dominasi kuasa oleh PAS/BA. UMNO/BN gagal majoriti di Terengganu malahan majoriti kemenangan juga menurun. Pulau Pinang, Kedah, Perak dan Perlis nyaris-nyaris dikuasai oleh BA juga. Representasi ‘pembangkang’ di Parlimen Malaysia pada ketika itu cukup kuat dalam menjadi agen semak dan imbang (check and balance) dalam beberapa perkara besar di peringkat nasional.
Dalam PRU11, emosi kita dihanyutkan pula oleh imej ‘Mr.Clean’ YAB Dato’ Seri Abdullah Hj. Ahmad Badawi. Rakyat menaruh harapan tinggi kepada beliau demi melaksanakan perubahan ‘sederhana’ dalam kerajaan – banteras rasuah, perkasakan Islamisasi (manhaj Islam Hadhari), pulihkan UMNO/BN; dan banyak lagi cita-cita dan harapan rakyat kepada beliau.
Akhirnya, rakyat telah memberi undi ‘harapan’ kepada UMNO dan Barisan Nasional (BN) hampir majoriti parlimen dikuasai BN sebanyak 199 kerusi. Pemberian undi ini tidak bermakna rakyat menyokong UMNO dan BN. Rakyat hanya memberi undi ‘harapan’ sahaja. Ternyata, UMNO/BN menang majoriti ‘besar’ di peringkat DUN dan Parlimen.
Kalau dalam PRU11 tersebut mereka memberi undi ‘harapan’; boleh jadi PRU seterusnya tidak jika ‘harapan’ tersebut gagal dilunaskan oleh kepemimpinan Pak Lah. Hari ini, kita sudah boleh membuat beberapa obsevarsi dan kesimpulan ‘kecil’ berhubung sifir undi ‘harapan’ tersebut.
Fenomena PRU12 cukup berbeza dengan rekod PRU11 dan sebelumnya. Selepas sepenggal kepemimpinan Pak Lah, pelbagai kesimpulan telah dibuat berhubung ‘harapan’ tersebut. Realitinya, terdapat beberapa harapan telah dilunaskan, namun masih banyak cita-cita tersebut terus menerus menjadi tanda tanya.
Implikasinya, transisi yang dilaksanakan oleh Pak Lah tersebut tidak cukup kuat untuk berdepan dengan hujah-hujah perubahan yang dilancarkan parti-parti alternatif. Selain isu inflasi 2.2%, penarikan subsidi minyak, kenaikan harga barang asasi; jenayah berleluasa, pengkorperatan pendidikan-kesihatan-perkhidmatan dan banyak lagi turut disedari rakyat. UMNO/BN juga dalam banyak perkara kurang peduli dengan kebajikan rakyat –setinggan, Tanah Rizab Melayu (TRM), agama dan sebagainya.
Realiti kepemimpinan UMNO/BN juga rata-rata tidak BERSIH dan terlibat dalam banyak skandal kewangan-moral, masalah dalaman yang meruntuni UMNO/BN turut membawa padah, gejala kronisme, budaya selesa para pemimpin dan sindrom cantas-mencantas jua membarahi komponen parti terbesar ini.
Pokok pangkalnya, ‘harapan’ yang selama ini disemai terhadap kepemimpinan UMNO/BN telah diracun sendiri oleh rasa tidak puas hati Barisan Rakyat kepada UMNO/BN. Pelbagai faktor telah membentuk emosi ‘baru’ di kalangan rakyat. Emosi-emosi tersebut telah digarapkan secara semula jadi dalam suatu ketumbukan yang boleh kita namakan ketumbukan tersebut sebagai Barisan Rakyat. Dalam ketumbuhan ini, terdiri oleh individu-individu partisan baik representasi PKR/PAS/DAP atau UMNO/BN sendiri. Barisan Rakyat ini juga terdiri oleh non-partisan seperti petani miskin, buruh, peniaga, ibu tunggal, mahasiswa ‘berhutang PTPTN’, ahli akademia, golongan warga pendidik, Ustaz/ah , polis, tentera, kakitangan kerajaan dan pelbagai lapisan masyarakat marhaen lain.
Barisan Rakyat tidak puas hati! Itulah faktor utama Barisan Rakyat memlilih PKR/PAS/DAP. Barisan Rakyat yang tidak bersedia memberi mandat undi kepada PKR/PAS/DAP turut mengotakan janji tidak terlibat dan menunjukkan rasa tidak puas hati dengan tidak turun mengundi.
Realiti ini juga ketara di beberapa kawasan majoriti Melayu, namun undi Melayu berkurangan di kawasan-kawasan tersebut. Adakah sikap ini menggambarkan representasi sebenar pengundi Melayu ‘di atas pagar’ atau sebenarnya representasi pengundi-pengundi tradisi UMNO sendiri?
Emosi ‘kepartian’ atau ketokohan ahli-ahli politik nasional bukan lagi dalam sifir Barisan Rakyat dalam lanskap PRU12 ini. Dan mood Barisan Rakyat sekali lagi dibentuk dalam rupa ‘harapan’ dan cita-cita. Harapan dan cita-cita mereka adalah Malaysia bermula hari ini patut jauh lebih megah berbanding sebelumnya.
Jika cita-cita Barisan Rakyat berjaya dilunaskan oleh PKR/PAS/DAP; mudah-mudahan rekod cemerlang tersebut akan menjadi ‘laporan eksperimen’ terbaik untuk difikirkan bersama oleh Barisan Rakyat di Terengganu, Pahang, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Perlis, Sabah dan Sarawak.
LAKSANAKAN ‘BUDAYA BERFIKIR’, PAPARKAN 'PANGGUNG' BARU LANSKAP POLITIK MALAYSIA
Kemenangan di Pulau Pinang, Kedah, Kelantan, Selangor dan Perak sepatutnya dilihat sebagai suatu peluang (opportunity) untuk PKR/PAS/DAP melunaskan demokrasi sebagaimana yang dicita-citakan bersama.
Negara demokrasi dan berkebajikan bukan hanya mengejar pembangunan fizikal – minyak, pendidikan, jenayah dll; tetapi lebih dari itu. Namun, jika tiada langsung pembangunan prasarana juga akan membawa makna buruk pada negara-negara berdemokrasi dan agar segala pengisiannya akan mencerminkan entiti baru Malaysia yang lebih praktik dan dinamis, memenuhi spiritual dan intelektual dan tidak bermodalkan kepada nilai material semata-mata.
Demokrasi juga menuntut rakyat berfikir sebenarnya. Berfikir tentang keperluan perubahan selepas 50 tahun Malaysia merdeka. Berfikir tentang kebolehupayaan pembangunan menyeluruh di peringkat negeri masih boleh dijamin walaupun tidak diperintah oleh UMNO/Barisan Nasional.
Berfikir tentang kebolehupayaan Parlimen Malaysia beroperasi lebih proaktif dan progresif disebabkan keberadaan pihak pembangkang juga bilangan yang banyak dan representasi yang kuat di Parlimen Malaysia. Malahan pengistilahan 'pembangkang' jua perlu di definisikan semula kerana mereka jua telah bergelar kerajaan di beberapa negeri. Inilah signifikannya perubahan pola politik yang dapat dilihat setelah keputusan PRU12 diumumkan.
Pokok pangkalnya adalah Barisan Rakyat ini patut dididik untuk berfikir secara rasional dan bermaklumat. Apabila Barisan Rakyat cukup maklumat dan cermat pertimbangannya; PRU13 kelak boleh dimanfaatkan sebaik mungkin. Semakin berusia Malaysia dalam sistem demokrasi, semakin ketara pembangunan jiwa, perkasaan minda, prasarana dinikmati bersama.
Bukan semakin berusia demokrasi Malaysia (selepas 5o tahun merdeka), semakin sempit minda, suara, jiwa dikongkong oleh pihak-pihak tertentu yang diangkat juga melalui pilihanraya yang bebas dan demokratik (mudah-mudahan).
Jika PKR/PAS/DAP cukup berkeupayaan memerintah Pulau Pinang, Kedah, Kelantan, Perak dan Selangor kelak, Barisan Rakyat juga tetap akan memberi mandat sahih biarpun dihambat pelbagai sogokan dan propaganda liar media massa arus perdana. Begitu juga pertimbangan Barisan Rakyat, jika PKR/PAS/DAP gagal menyediakan segala cita-cita dan harapan Barisan Rakyat ini terserlah sebagai satu realiti, manifesto hanya sekadar janji tinggal janji maka Barisan Rakyat juga tidak teragak-agak mungkin akan memberi mandat kepada UMNO/BN semula; atau parti-parti ‘baru’ yang mungkin akan wujud dan mengisi perjuangan sosialisasi rakyat Malaysia kelak; jika semua parti-parti yang sedia ada dilihat tidak relevan dalam konteks Malaysia selepas 50 tahun merdeka. Semua sifir yang mudah dan pertimbangan ini asasinya dalam neraca hati dan fikiran setiap rakyat Malaysia yang menjiwai Barisan Rakyat ini.
PEDULIKAN AGENDA RAKYAT
Sekarang bukan lagi masa untuk bereksperimen atau beruji kaji, tetapi masanya untuk kita mencorak Malaysia Baru pasca 5O tahun merdeka. Malaysia ‘baru’ sepatutnya lebih mementingkan agenda rakyat, berbanding agenda parti-parti tertentu itu sendiri.
Tidak kurang ‘darah’ Melayu kita jika kita tidak memberi undi kepada seseorang calon Melayu dari UMNO disebabkan sikap anti kita pada gejala rasuah/skandal moral oleh calon tersebut. Begitu juga dalam situasi-situasi lain.
Ini kerana bangsa Melayu/Malaysia yang berdaulat memang benci rasuah dan skandal moral kerana rumpun bangsa kita dididik dengan pegangan agama dan ikatan budaya ketimuran.
Jika kepentingan agenda rakyat ini menjadi juzuk penting dalam kamus politik kita kelak, bukan sahaja agenda kepentingan rakyat berjaya kita angkat di Parlimen dan Malaysia; malah sistem demokrasi Malaysia jauh lebih unik dan saksama.
Mari kita lihat suasana unik dan saksama dalam pemilihan calon Presiden Amerika Syarikat (AS) belakangan ini. Barack Obama dan Hillary Clinton adalah dari parti yang sama – Parti Demokrat; namun kedua-dua calon tersebut cukup lantang dan berdepan antara satu sama lain dalam mengetengahkan idea perubahan jika mereka diberi mandat sebagai menjadi calon kelak.
Berdebat dan berwacana oleh kedua-dua calon tersebut dilaksanakan dalam kondisi penuh bertanggungjawab, akademia, rasional di pentas yang terbuka dan mendapat liputan sahih/adil oleh semua media massa arus perdana menjadi budaya ‘baru’ politik di sana.
Bayangkan suasana unik dan saksama ini berlaku dalam UMNO/BN dan Kerajaan Malaysia. YAB Dato’ Seri Najib Tun Abdul Razak secara lantang menasihatkan YAB Dato’ Seri Abdullah Hj. Ahmad Badawi dalam isu keterlibatan anak-menantu perdana Menteri Malaysia dalam skandal rasuah dan sebagainya.
Bayangkan YAB Dato’ Seri Najib Tun Abdul Razak secara bertanggungjawab membenarkan dirinya dibicarakan dalam Mahkamah yang adil dan bebas dalam isu pembunuhan gadis Mongolia, Altantuya Sharibuu; demi memberi jawapan sahih kepada seluruh rakyat Malaysia yang berkesedaran dengan kewujudan spekulasi dengan memberikan penjelasan secara terbuka jika benar tidak bersalah bagi membuktikan kes tersebut adalah tidak benar.
Bayangkan Dato’ Dr. Adham Baba atas kepentingan akademia dan nilai keintelaktualan menasihatkan Dato’ Mustapha Muhammad membahaskan AUKU, ISA, OSA dll agar dimansuhkan kerana undang-undang tersebut bertentangan dengan Hak Asasi Manusia, Perlembagaan Persekutuan dan langsung tidak relevan dengan suasana sejahtera rakyat Malaysia dewasa ini. Ditambah lagi dengan kebebasab melontarkan idea, mengutarakan pandangan dan para mahasiswa/wi di panggil dan di benarkan bersua muka serta berdebat bertukar pendapat, segalanya penting demi memupuk kesedaran dan melahirkan kematangan.
Bayangkan dan terus bayangkan segala perubahan di atas jika UMNO/BN peduli dengan agenda rakyat. Fungsi PKR/PAS/DAP mungkin hanya sebagai watchdog atau check and balance di Parlimen dan Dewan Undangan Negeri.
Barisan Rakyat lebih dibela dan direalisasikan segala cita-cita dan harapan mereka setiap kali PRU Malaysia berlangsung. Bayangkan!
KONKLUSI : JIWA GENERASI BARU, HARAPAN UNTUK MALAYSIA
Semoga keputusan PRU12 kali ini menggamit perhatian semua pihak untuk berfikir dan terus berfikir. UMNO/BN sepatutnya berfikir adakah kegagalan mendapatkan mandat semula di beberapa negeri tersebut disebabkan oleh kebolehupayaan politik PKR/PAS/DAP; atau berpunca oleh kelemahan-kelamahan atau ketidakpedulian UMNO/BN terhadap kebajikan rakyat hatta rakyat dan generasi baru mengambil keputusan ‘unik’ untuk tidak mengundi UMNO/BN?
PKR/PAS/DAP juga seharusnya berfikir tentang fenomena unik di Pulau Pinang, Kedah, Kelantan, Selangor dan Perak ini adakah disebabkan persetujuan Barisan Rakyat dengan idealisme perjuangan parti-parti mereka; atau disebabkan sikap tidak puas hati rakyat dengan realiti ‘kelemahan’ UMNO/BN dan kehidupan ‘tidak selasa’ di Malaysia?
Jika sikap ‘tidak puas hati’ sebagai faktor utama, sepatutnya Barisan Rakyat tersebut harus dididik untuk menerima dan mendukung idealisme perjuangan parti-parti mereka. Sesungguhnya, generasi baru Malaysia semakin terdidik dan mempunyai maklumat yang cukup untuk melakukan perubahan. Tanpa disedari, gelombanng kesedaran itu mula berakar umbi dalam minda masyarakat, dan benarlah hanya masyarakat sivik yang sedar mampu menilai antara baik dan buruk dan memilih dengan hikmah serta bijaksana.
Barisan Rakyat juga seharusnya terus berfikir dan memanfaatkan ‘mandat rakyat 5 tahun sekali’ ini kerana kebolehupayaan UMNO/BN atau PKR/PAS/DAP (Barisan Alternatif) sebenarnya bergantung pada kuasa mengundi kita.
" Sewajarnya rakyat tidak perlu takut dan gentar dengan kerajaan, tetapi semestinya kerajaan takut kepada rakyat"- alan moore
Tahniah kepada BARISAN RAKYAT, BA & BN!
Mahasiswa Bersama Rakyat