Wednesday, July 16, 2008

Kenyataan Media 16 Julai 2008 Berhubung Debat Harga Minyak


Kerajaan yang diwakili oleh YB. Menteri Penerangan Datuk Ahmad Shabery Cheek telah gagal
mempertahankan tindakan menaikkan harga minyak di dalam debat semalam. YB. Menteri beberapa kali mengulangi barisan hujah-hujah yang sama didalam usahanya menegakkan benang yang basah.

Di antara lain YB. Menteri mendakwa

* Negara-negara pengeluar minyak yang menjual bahan bakar pada harga runcit yang rendah
mengalami kadar inflasi yang tinggi.
* Malaysia adalah pengeluar minyak yang kecil.
* Petronas telah memberi sebegitu tinggi pendapatannya kepada kerajaan.

Saya berpendapat, YB. Menteri gagal menjelaskan bahawa semenjak Kerajaan menaikkan harga runcit bahan bakar petrol dan diesel pada 5 Jun 2008, kadar inflasi negara sudah meningkat sebanyak 7%. Harga barang keperluan dan pengangkutan meningkat dengan mendadak. Lantaran Malaysia menjadi negara pengeluar minyak yang menjual bahan bakar pada harga runcit yang tertinggi kepada rakyat dan pada waktu yang sama rakyat Malaysia juga terpaksa menanggung beban inflasi yang melonjak.

Bertuahlah rakyat Venezuela dan Iran kerana walaupun menurut YB. Menteri, kadar inflasi di negara itu ‘tinggi’ tetapi petrol dijual secara runcit pada harga hanya RM0.16 dan RM1.33 seliter. Ini bermakna penduduk dikedua-dua negara itu menikmati harga runcit bahan bakar yang rendah dan harga barang yang ‘didakwa tinggi’, tetapi di Malaysia, rakyatnya terpaksa menanggung kedua-dua beban itu sekaligus.

YB. Menteri juga mendakwa asas kenaikan harga runcit bahan bakar adalah kerana Malaysia adalah pengeluar minyak yang kecil. Tetapi YB. Menteri gagal menjelaskan bahawa rizab minyak mentah negara berjumlah sebanyak 6 billion tong dan nisbah penggantian simpanan (Reserve Replacement Ratio) 1.8 (sumber Laporan Tahunan Petronas 2007), dan negara mengeluarkan 700,000 tong minyak mentah sehari dengan lebihan minyak mentah setelah ditolak penggunaan domestik hampir 200,000 tong sehari. Malaysia memiliki populasi penduduk seramai 25 juta orang dan nisbah jumlah penduduk dan keluaran minyak mentah negara adalah tinggi jika dibandingkan dengan negara-negara pengeluar minyak lain seperti Mesir.

Mesir mempunyai populasi penduduk berjumlah 82 juta orang. Mesir mengeluarkan hanya 688,000 tong sehari dan penggunaan domestiknya adalah sebanyak 635,000 tong sehari. Namun begitu Mesir masih menjual harga runcit minyak pada kadar RM1.03 seliter. Turkmenistan pula mempunyai penduduk seramai 5 juta orang dan mengeluarkan minyak mentah sebanyak 196,000 tong sehari. Turkmenistan menggunakan sebanyak 156,000 tong sehari tetapi masih mampu menjual harga runcit petrol pada RM0.25 sahaja. Negara-negara pengeluar minyak kecil lain, yang bukan anggota OPEC kesemuanya menjual petrol pada harga runcit yang jauh lebih rendah dari Negara kita.

YB. Menteri juga gagal mematahkan hujah Dato’ Seri Anwar Ibrahim berhubung wang negara yang boleh dijimatkan menerusi penyusunan semula kadar IPP dan dengan melakukan penyusunan semula kewangan negara sahaja sudah dapat menampung subsidi minyak bagi membolehkan rakyat menikmati harga runcit petrol dan diesel pada kadar yang menasabah.

Saya yakin bahawa keputusan menaikan harga runcit bahan bakar ini dibuat oleh kabinet selepas satu perbincangan yang menyeluruh dan setelah menelaah segala maklumat dan data-data yang berkaitan. Namun begitu berdasarkan hujah YB. Menteri malam tadi, seolah-olah Negara kita telah mengambil keputusan menaikan harga runcit minyak pada kadar yang tinggi tanpa satu hujah yang kuat.

Lebih membimbangkan saya, falsafah Kerajaan bahawa harga runcit minyak yang tinggi adalah lebih baik bagi negara tergambar didalam cara YB. Menteri memberi hujahnya.

Sektor tertentu ekonomi yang akan terjejas teruk nampaknya tidak diambil kira. Kehilangan daya saing Negara hasil kenaikan kos pengeluaran sama ada menerusi kenaikan harga minyak, gas dan tarif elektrik akan menyebabkan kilang-kilang menanggung beban yang tinggi seterusnya berkemungkinan ditutup dan menyaksikan kehilangan pekerjaan dikalangan rakyat dengan meluas.

Pakatan rakyat tidak pernah menafikan bahawa sumbangan Petronas adalah begitu besar kepada hasil pendapatan negara. Strategi penurunan harga minyak oleh Pakatan Rakyat juga tidak melibatkan desakan supaya lebih banyak wang diambil dari Petronas. Sebaliknya kenaikan harga minyak dunia sendiri bererti Petronas secara automatik akan memberi pulangan yang lebih kepada Kerajaan menerusi cukai langsung, cukai tidak langsung, royalti dan dividen. Menurut kenyataan Petronas pada 15 Julai 2008, Petronas berjaya memperolehi keuntungan bersih RM61 billion bagi tahun kewangan berakhir Mac 2008. Ini merupakan peningkatan dari keuntungan bersih Petronas yang berjumlah RM46 billion pada tahun 2007.

Petronas juga menyumbangkan sebanyak RM30 billion dalam bentuk dividen kepada Kerajaan didalam tempoh yang sama. Ini merupakan peningkatan sebanyak RM6 billion dari anggaran asal Hasil Kerajaan Persekutuan Menerusi Dividen Petronas yang dibentangkan dalam bajet 2008.

Keuntungan Petronas yang bertambah sebanyak 31% menjadi bukti yang kenaikan itu adalah sejarah hasil kenaikan harga minyak mentah dunia lantaran membentuk kebenaran hipotesis yang semakin tinggi harga minyak mentah dipasaran dunia, semakin untung Kerajaan kerana kedudukan Negara sebagai net eksporter.

Ekoran keuntungan besar dalam sejarah Petronas itu, jumlah yang dipungut oleh Kerajaan juga berlipat kali ganda dan dengan itu bermakna Kerajaan mampu membiayai harga kos subsidi untuk meletakkan harga minyak yang lebih rendah.

Saya dengan ini menyeru Kerajaan Malaysia untuk menurunkan harga runcit minyak dengan serta merta.

Written by Syed Azidi Syed Abdul Aziz (http://www.husammusa.com/)


Tuesday, April 15, 2008

::..Pesanan Para Alim Ulama..::


Para Ulama' sering mengingatkan kita kepada perkara-perkara berikut :-

01 - Penuhilah dirimu dengan makrifat kepada Allah.

02 - Carilah Tuhanmu nescaya engkau temui kebahagiaan.

03 - Berwaspadalah dengan lisanmu kerana bahayanya cukup berat, membawa mudahnya terjerumus ke dalam neraka Allah.

04 - Ketahuilah, sesungguhnya setiap patah perkataan akan dihitung secara halus kecuali amar makruf , nahi mungkar serta zikrullah.

05 - Awasilah mata dan telingamu kerana ia adalah dua pintu masuk syaitan ke dalam hati. Awaslah, kerana apabila ia sampai kepada hati maka ia akan memberi kesan walau sedikit. Hubungkanlah keduanya dengan Allah, nescaya kamu hanya memandang dan mendengar perkara yang baik.

06 - Janganlah biarkan hatimu sayang dengan dunia, kerana sakit untuk kamu keluarkannya. Rasailah kesempurnaan dan ketinggian Rohmu dgn melihat kekuasaan Allah, mendengar ayat-ayat Allah.

07 - Peliharalah kebersihan zahir dan batinmu dalam keadaan sentiasa berwuduk lalu solatlah dua rakaat sekiranya kau mampu istiqamah.

08 - Kurangkanlah makan kerana sekiranya banyak makan, banyak mendatangi hadas dan sukar untuk bangun di malam hari.

09 - Sabarlah dalam memohon keampunan Tuhanmu, kerana dosa itu sukar untuk dikeluarkan seumpama mengeluarkan racun daripada badan.

10 - Jangan berangan-angan kosong kerana banyak berangan-angan membawa kepada cinta dunia seperti barah yang merebak amat sukar untuk dirawat kembali.

11 - Bersihkanlah hatimu dari sifat was-was terhadap Allah s.w.t, kerana itulah kunci penipuan syaitan dan kelalaian.